AGENDA NASIONAL

Polis buka 13 kertas siasatan libatkan jenayah harta benda di Selangor

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 13 kertas siasatan berkaitan jenayah harta benda melibatkan banjir di Kontinjen Selangor bagi tempoh 17 Dis hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata PDRM tidak menerima laporan berkaitan jenayah harta benda daripada lain-lain kontinjen.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak empat siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri motosikal dan sembilan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaaan kerana menceroboh pasar raya/kedai.

“Selain itu, seramai 43 suspek telah ditahan dengan pecahan 40 lelaki dan tiga wanita yang akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda, selain mematuhi semua arahan yang dikeluarkan kerajaan serta undang-undang negara demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Pada Isnin lepas, seramai 31 individu diberkas disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah pasar raya di Taman Sri Muda, Shah Alam, dekat sini.

-BERNAMA


Pengarang :