AGENDANASIONAL

Polis lengkap siasatan kes buli pelajar MRSM secepat mungkin

SHAH ALAM, 14 DIS: Polis akan melengkapkan siasatan secepat mungkin bagi kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata hasil siasatan kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya.

Beliau berkata seramai 10 pelajar berumur 13 ke 15 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes tersebut dan kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Mazlan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita memandang serius perkara ini dan tidak mahu ia berulang lagi kerana akan menjadi masalah kepada pihak sekolah yang berkenaan, itu sebabnya tindakan tegas diambil di bawah tindakan jenayah,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Mazlan juga menasihatkan kepada semua pihak untuk segera membuat laporan kepada polis jika terdapat ‘bunga-bunga’ (unsur) kejadian buli sebagai langkah pencegahan.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular dalam media sosial minggu lepas menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang awam.

-BERNAMA


Pengarang :