Sukarelawan ‘Misi Meringankan Beban dan Agihan Wang Zakat’ ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Meru, Klang dan Padang Jawa, Shah Alam pada 30 Disember 2021. Foto PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC)
AGENSISELANGOR

PREC agih bantuan makanan, zakat kepada lima keluarga terjejas banjir

SHAH ALAM, 30 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengagihkan bantuan makanan dan zakat kepada lima keluarga terjejas banjir di Meru, Klang dan Padang Jawa, Shah Alam hari ini.

Agensi berkata ‘Misi Meringankan Beban dan Agihan Wang Zakat’ itu dibantu enam artis dari Indigital Music iaitu Syahmi, Aufahanie, Nomad, Killa Driz, Aliff Iskandar dan Syafiq Naser.

“PREC menyumbang barangan asas seperti minyak masak, kopi, susu, teh, tisu tandas selain barangan elektrik dan dapur masak bagi menggantikan barangan mangsa yang rosak akibat banjir.

“Siri pengagihan zakat berjumlah RM40,500 akan dilakukan dari semasa ke semasa kepada 17 rumah terpilih dan dijangka selesai awal Januari 2022,” katanya.

Tambahnya, usaha itu turut mendapat sokongan syarikat berjenama seperti Faiza yang menyumbang beras dan tepung manakala Adabi menyumbang makanan sedia dimakan seperti rendang daging, kari ayam, makanan ringan, selain tepung cucur dan banyak lagi.

Menurut PREC lagi, Bazaarlokal juga menganjurkan jualan amal bertemakan ‘Charity Is Fun’ bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Pembelian boleh dibuat di booth Bazaarlokal yang terletak di aras bawah, SACC Mall dengan barangan premium serendah RM50 atau pembelian merchandize Bazaarlokal serendah RM1,” katanya.


Pengarang :