Poster mengingatkan orang ramai untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember ketika tinjauan di pekan Bekenu pada 12 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 10,458 anggota polis, pasangan undi awal esok

KUCHING, 13 DIS: Seramai 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 esok, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Katanya 85 pusat pengundian awal dengan 111 saluran akan dibuka mulai 7.30 pagi hingga 5 petang dengan 5,522 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan serta memastikan proses pengundian awal esok berjalan dengan lancar.

“Pusat mengundi awal terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu pejabat Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan juga sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi undi pos pula menurutnya, jumlah permohonan bagi pihak polis adalah sebanyak 1,200 dengan 705 telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mancha berkata pihak polis telah mengeluarkan enam kompaun kepada pihak-pihak yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021), dengan kompaun terkumpul berjumlah RM31,000.

Beliau berkata polis telah membuka 39 kertas siasatan bagi tempoh 30 Nov lepas hingga semalam, di samping menerima 1,837 permohonan bagi mendapatkan permit polis untuk berkempen secara fizikal daripada parti serta calon-calon yang bertanding.

-BERNAMA

 


Pengarang :