Petugas kesihatan melakukan kerja sanitasi di pusat mengundi bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mencegah penularan Covid-19 sebelum hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ketika tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Keng Nang pada 17 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PRN Sarawak: 1,866 pusat mengundi dibuka esok

KUCHING, 17 DIS: Sebanyak 1,866 pusat mengundi melibatkan 3,555 saluran akan dibuka untuk pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 46,565 petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian yang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Seramai 1,213,769 pengundi bakal mengundi di PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12 esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengundi yang hadir ke pusat mengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dengan pengundi perlu melalui empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya.

Ikmalrudin juga berkata pengundi bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan dan individu terbabit akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut.

“Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” katanya.

Beliau turut menegaskan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi esok agar tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa bahan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding.

Selain itu, apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat mengundi.

Ikmalrudin berkata petugas SPR sudah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi untuk kegunaan bagi proses pengundian esok.

“Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik. Peralatan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi,” katanya.

Beliau menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR itu turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.

“Mana-Mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntuk hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :