Isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) pada program bedah buku di Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 7 Disember 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Program bedah buku ketengah karya tempatan dikenali ramai

SHAH ALAM, 7 DIS: Program bedah buku di Pesta Buku Selangor 2021 diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini memberi peluang kepada karya tempatan supaya dikenali ramai.

Isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program itu juga dapat mengetengahkan individu yang bertanggungjawab dalam menghasilkan sesebuah buku.

“Biasanya beli buku berdasarkan sinopsis, jadi program ini bila orang dengar menarik mereka akan berminat untuk membaca lebih lanjut.

“Ia secara tidak langsung dapat perkenalkan penulis, penerbit dan karya tempatan ini dapat pergi jauh lagi cuma tiada ruang untuk dedahkan apa isi kandungannya,” katanya selepas sesi membedah buku Qalbun Salim: Syarah Penawar Bagi Hati.

Masdiana dalam pada itu mengajak orang ramai untuk sama-sama turut serta dan membeli buku yang dijual di Pesta Buku Selangor 2021.

Beliau bagaimanapun mengingatkan mereka yang benar-benar sihat dan tidak bergejala sahaja untuk hadir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta buku itu menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :