Kereta terkandas akibat banjir di stesen minyak ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Proses pam keluar air Taman Sri Muda berjalan lancar walau hujan awal pagi

SHAH ALAM, 22 DIS: Proses mengepam air keluar dari kawasan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, berjalan lancar walaupun hujan lebat melanda sekitar Shah Alam awal pagi tadi.

“Pagi tadi dah surut juga walaupun hujan pukul 4 pagi,” kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim secara ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan proses menyedut air bah di kawasan tersebut yang bermula sejak awal pagi semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad memaklumkan lebih 80 peratus air banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam telah disedut keluar dan dilepaskan ke Sungai Klang.

“Jika 80 peratus boleh selesai dalam 17 jam dan baki 20 peratus lagi ikut logik esok pagi boleh diselesaikan jika tidak hujan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :