AGENDANASIONAL

PTPTN terima deposit SSPN 159 peratus, lebihi sasaran awal

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS 2021) mencatatkan situasi luar biasa dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM175 juta atau 159 peratus berbanding sasaran awalnya sebanyak RM110 juta.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu kenyataan hari ini berkata kejayaan terimaan deposit yang tinggi itu jelas menunjukkan semakin ramai ibu bapa mengambil berat mengenai kepentingan menabung dan perancangan kewangan bagi menjamin masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

“Kekallah menjadi ‘superhero’ sepanjang masa untuk anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dari awal bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.

“Pendidikan memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai satu laluan untuk melahirkan modal insan yang berguna tetapi juga menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

BMS 2021 anjuran PTPTN diadakan sepanjang Oktober 2021 bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Okt setiap tahun.

-BERNAMA


Pengarang :