Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu penduduk ketika hadir meninjau keadaan selepas banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pusat pemindahan dibuka meski banjir surut, mudahkan kebajikan mangsa

KUALA LANGAT, 26 DIS: Pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir kekal dibuka meskipun banjir surut, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan PPS hanya boleh diisytiharkan selepas keputusan dibuat jawatankuasa bencana negeri.

“PPS tetap dibuka untuk keselesaan dan kebajikan mangsa, ini kerana masih ada kediaman yang belum dibersih dan mereka masih berulang-alik ke PPS,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau keadaan pascabanjir antaranya di Taman Langat Utama dan Masjid Ar Rahman serta Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang.

Amirudin berkata jumlah mangsa ditempatkan di PPS semakin berkurang kerana banyak kediaman yang sudah pulih dan dibersihkan.

“Pada Selasa lebih 30,000 mangsa dilaporkan dan setakat petang semalam sebanyak 15,000 individu. Kita jangka pagi ini jumlah itu semakin berkurang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa kanak kanak ketika meninjau keadaan selepas banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :