Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersalaman dengan pemain pada perlawanan akhir bola sepak piala DYTM Raja Muda Selangor di Padang SUK, Shah Alam pada 14 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Raja Muda pergiat program asuh bakat bola sepak

SHAH ALAM, 11 DIS: Usaha Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah membangunkan sukan bola sepak negeri meliputi segenap kelompok. Dari kanak-kanak, wanita mahupun lelaki, semuanya ada dalam rencana Baginda.

Pelbagai program rancak berlangsung demi mengembalikan kegemilangan negeri agar gah di kejohanan tempatan, seterusnya mengorak langkah ke peringkat Asia.

Bukan sahaja melahirkan pemain berwibawa, Baginda sejak menerajui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tiga tahun lalu berazam melahirkan jurulatih dan pengadil berkualiti. Justeru, beberapa inisiatif dirancang bagi mewujudkan ekosistem berdaya maju.

Pengenalan Liga Super Wanita yang dirasmikan sendiri Baginda pada 20 November antara usaha tersebut. Liga itu sekali gus menjadi kejohanan bola sepak wanita pertama di negara ini.

Disertai 10 pasukan, liga tersebut membuka tirai pada 29 November seterusnya menjadi landasan terbaik buat pemain wanita mempamer bakat dan mempertingkat prestasi.

Selain itu, Liga Futsal Wanita Selangor dan Liga Junior Perempuan FAS turut diketengah selain pembangunan kejurulatihan serta pengadilan wanita.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menandatangani bola sebagai gimik pelancaran Liga Super Wanita FAS di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November 2021. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor

Pelbagai formula dicetuskan demi melahirkan lebih ramai jaguh sukan itu. Justeru, Tengku Amir Shah turut aktif pada peringkat akar umbi, komuniti, sosial, amatur dan semi-profesional.

Menerusi kerjasama Team Selangor, Klinik Asas Bola Sepak dianjur pada 4 Disember secara percuma dengan penyertaan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dari serata daerah.

FAS juga menjalin kerjasama dengan peneraju industri animasi negara Les’ Copaque bagi mencungkil bakat baharu menerusi FAS Soccer School pada tahun lalu.

Selain mencungkil bakat peringkat kanak-kanak, Football Selangor, sebuah entiti bawah Selangor Youth Community (SAY), turut diwujudkan sebagai platform bola sepak komuniti dan belia di negeri ini.

Beberapa kategori liga juga diperkenal bagi membangunkan bakat bola sepak antaranya Liga Affiliated, Liga FAS, Liga Joma, Liga Junior dan Liga Belia.

Baginda juga mengilhamkan Liga Kejuaraan Selangor (SCL), liga yang menghimpunkan juara-juara liga amatur negeri bagi merebut gelaran pasukan amatur terbaik.

Kini, SCL menjadi liga paling berprestij di Selangor. Bukan sahaja dari segi penyertaan pasukan, bahkan taraf penganjuran sentiasa pada tahap terbaik.

Selain itu, FAS melalui episod baharu pada akhir September tahun lalu apabila ia dipisahkan daripada entiti persatuan bola sepak dan diiktiraf sebagai kelab profesional bebas.

Penswastaan itu menyaksikan perbezaan peranan antara pengurusan FAS dan syarikat Red Giants FC Sdn Bhd (Red Giants FC) sebagai pengendali Selangor FC.

FAS menumpukan pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu pengadil selain membangunkan liga serta kejohanan peringkat negeri.

Red Giants FC pula mengendalikan skuad utama Selangor FC, Selangor FC II, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan wanita negeri.

Pun begitu, Tengku Amir Shah masih menjadi pemilik bersama Selangor FC selaku pemegang saham utama dan mengikuti rapat perkembangan pemain skuad kendalian Red Giants FC.

Saingan Piala Malaysia sejak 26 September menyaksikan skuad bimbingan Karsten Neitzel menempah slot ke suku akhir di sebalik ketiadaan beberapa tonggak.

Sekalipun gagal menjulang piala, skuad yang bakal diuruskan Michael Feichtenbeiner pada musim depan mempamer persembahan memberangsangkan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencuba Zip Line Shah Alam atau ‘Flying Fox’ ketika berangkat tiba ke Majlis Perasmian Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Musical Fountain di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam pada 28 Mac 2021. Foto BERNAMA

Selain bola sepak, Tengku Amir turut memajukan sukan rekreasi antaranya luncur keluang menerusi Projek Zip Line Shah Alam sepanjang 240 meter pada ketinggian 18 meter merintangi Taman Tasik Shah Alam.

Baginda juga menganjurkan program ‘Selangor Youth Get Active’ secara maya bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Program melalui Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan SAY sempena Hari Sukan Negara menumpukan acara berbasikal yang menjadi kegemaran baginda selain berjalan, joging, berlari, mendaki, yoga dan berenang.


Pengarang :