Ratu rock tanah air, Ella menyumbang 300 pek makanan sedia dimakan kepada Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Ella Aminuddin
ADNSELANGOR

Ratu rock negara sumbang pek makanan kepada mangsa banjir Batu Tiga

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesusahan dihadapi mangsa banjir di Batu Tiga di sini mendapat perhatian ratu rock tanah air, Ella.

Pemilik nama lengkap Norzila Aminuddin, 55, tampil menghulurkan 300 pek makanan sedia dimakan kepada Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga semalam.

Perkara itu dikongsikan wakil rakyat kawasan terbabit Rodziah Ismail melalui Facebook yang berterima kasih dan menghargai sumbangan penyanyi berkenaan.

“Terima kasih Ella (beri sumbangan). Dia beri makanan sedia dimakan iaitu terubuk steam jenama Timore, jadi tak perlu masak,” kata Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pelantun Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu meminta orang ramai mengulang kicau tulisannya di Twitter berkenaan inisiatif sedang digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.

“Ella nak hantar 300 pek makanan ‘ready to eat’ kepada mangsa banjir sekitar Shah Alam.

“Mohon RT (ulang kicau) untuk team (pasukan) Ella hantarkan ke lokasi dengan sebaiknya #daruratbanjir,” tulisnya di Twitter.

Hujan lebat luar biasa sejak Jumaat, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di Selangor ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.


Pengarang :