Penduduk di Taman Lagenda Suria, Hulu Langat membersihkan barangan dan kawasan rumah selepas air surut akibat banjir ketika tinjauan pada 22 Disember 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Rebat sebulan ringan beban mangsa banjir, banyak guna air bersihkan rumah

HULU LANGAT, 23 DIS: Pengecualian bayaran bil air selama sebulan membantu mangsa banjir yang banyak menggunakan air untuk membersihkan rumah dan membasuh pakaian berlumpur.

Pertama kali berdepan pengalaman banjir, Wan Muhammad Faisal Wan Ismail, 43, berkata rumahnya yang didiami sejak 12 tahun di Taman Lagenda Suria di sini dipenuhi lumpur selepas air surut.

“Apabila Kerajaan Negeri umumkan inisiatif pengecualian bil air sebulan, syukur sangat kerana memang kami menggunakan air yang sangat banyak buat masa ini,” katanya kepada Selangorkini.

Manakala, Lai Foo Kwee, 55, berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang prihatin dengan nasib rakyat yang menjadi mangsa musibah berkenaan.

“Bukan sahaja air percuma malah difahamkan ada bantuan RM1,000 kepada mangsa, ini memang berita gembira. Saya harap sumbangan diberi kepada golongan sasar dan benar-benar sampai kepada individu sepatutnya,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri bersetuju mengecualikan bayaran bil air selama sebulan kepada semua pemegang akaun yang terkesan dengan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntuk RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah sejak Sabtu.


Pengarang :