Pasukan sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis mengharungi arus deras untuk membawa keluar penduduk terkandas dalam banjir di Kampung Johan Setia, Klang pada 18 Disember 2021. Foto ADN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni
ADNSELANGOR

Redah arus selamatkan bayi, penduduk terkandas banjir di Sungai Kandis

SHAH ALAM, 18 DIS: Menyelamatkan bayi berusia tiga hari dan penduduk dengan mengharungi arus deras dalam keadaan gelap antara cabaran dilalui wakil rakyat Sungai Kandis dan pasukannya di Kampung Johan Setia dan Kampung Seri Nadi yang terkandas akibat banjir.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata operasi enam jam yang bermula 12 tengah malam tadi itu dilancarkan selepas paras air semakin meningkat yang dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk terbabit.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan tanpa bantuan pihak berkuasa seperti bomba yang dikejarkan ke Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang susulan keadaan banjir di sana lebih meruncing dan membabitkan ramai mangsa.

“Tanpa menggunakan bot dan dalam keadaan gelap kerana bekalan elektrik diputuskan, kami berjalan meredah arus deras untuk membawa penduduk yang turut membabitkan komuniti Rohingya di Kampung Johan Setia.

“Paling mencabar untuk membawa wanita baru sahaja bersalin tiga hari lalu bersama bayinya. Alhamdulillah operasi berjalan lancar dan selesai jam 6 pagi tadi, lebih 200 penduduk dibawa keluar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Johan Setia dan Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

“Kawasan lain terjejas di Sungai Kandis termasuk di Kampung Jalan Kebun, Bukit Naga, Kampung Sungai Kandis dan Kampung Jawa.

“Bantuan kepada mangsa sudah diberikan yang diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.


Pengarang :