Pengusaha tanaman, Azimi Omar, 50 mengangkat baja ke atas lori selepas menerima bantuan baja kompos daripada Kerajaan Negeri di Sungai Burong, Tanjong Karang pada 6 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ringan beban petani, setiap DUN dapat satu tan baja kompos

SHAH ALAM, 7 DIS: Bantuan baja kompos antara satu hingga dua tan diagihkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meringankan beban petani menanggung kos pengeluaran tani.

EXCO pemodenan pertanian berkata langkah itu juga menggalakkan golongan berkenaan menggunakan produk tempatan berkualiti tinggi selain mampu mengurangkan pencemaran.

“Kita akan dapatkan nama petani di setiap DUN dan hantar terus kepada mereka, tidak akan dikumpulkan di pusat khidmat masyarakat.

“Bagi DUN yang mempunyai jumlah petani tinggi, mereka akan diberikan dua tan baja organik kompos,” kata Ir Izham Hashim pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung program pertanian rakyat untuk mengguna pakai tanah kerajaan yang terbiar.

Mengulas perkara itu, Ir Izham berkata data tanah tersebut sedang dikumpul untuk membangunkan aktiviti pertanian bersesuaian antaranya projek taman kekal pengeluaran makanan.

Jelasnya, terdapat 11 projek diuruskan Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan Jabatan Perikanan ketika ini, dengan keluasan 1,300 hektar bernilai RM38 juta setahun.

“Ini tidak mencukupi dalam menyelesaikan isu jaminan bekalan, justeru Kerajaan Negeri buat keputusan bawah Pelan Transformasi Selangor untuk menambah tanah sesuai bagi rakyat menceburi pertanian dan meningkatkan hasil,” katanya.


Pengarang :