Penganut agama Hindu sedang giat membersihkan perkakas dapur Kuil Sri Maha Mariamman susulan kejadian banjir di Taman Sri Muda Seksyen 25 ketika tinjauan pada 23 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM10 juta naik taraf saliran, atasi banjir di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak RM10 juta diperuntuk Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) bagi menaik taraf sistem saliran di Taman Sri Muda.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek yang siap empat peratus dimulakan sejak 1 Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Julai 2023.

Beliau berkata skop projek melibatkan binaan struktur platform bagi pemasangan tiga unit skru pam dan menambah baik saliran utama kawasan berkenaan.

“Semoga projek ini akan membantu menyelesaikan isu banjir di sini secara menyeluruh berdasarkan keperluan dan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas dakwaan kegagalan pembaikan pam hingga mengakibatkan banjir di Taman Sri Muda, Ir Izham berkata JPS menyelenggara dua unit pam bergerak sedia ada selain menambah dua lagi unit baharu.

Beliau menjelaskan keempat-empat pengoperasian pam tersebut disaksikan sendiri pada 17 November lalu bersama EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

“Harapan saya kepada pihak media dan sesiapa sahaja supaya mendapatkan maklumat tepat dalam pemberitaan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Taman Sri Muda antara yang terjejas teruk di Selangor dengan kebanyakan rumah ditenggelami air susulan hujan lebat lebih 24 jam mulai 16 Disember.


Pengarang :