Ir Izham Hashim meninjau projek tanaman cili fertigasi ketika lawatan kerja di Lennex Technologies, Hulu Langat pada 7 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM14 juta bantu 10,000 petani tangani harga baja, racun naik

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM14 juta bagi membantu petani dan pesawah terkesan akibat kenaikan harga baja serta racun pada tahun ini.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata bantuan itu memberi manfaat kepada 10,000 individu sekali gus mengurangkan kesan kenaikan harga.

“Selain bantuan negeri, kerajaan pusat juga memperuntuk lebih RM13 juta merangkumi RM6.3 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan RM7.05 juta kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Barat Laut Selangor.

“Kita berharap bantuan yang telah dan sedang dilaksanakan membantu petani dan pesawah menangani isu kenaikan harga input,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman mengenai langkah membantu petani dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ir Izham berkata pihaknya mengenal pasti beberapa faktor penyumbang kenaikan harga baja dan racun sebanyak 10 peratus pada tahun ini.

“Antaranya kekurangan bahan mentah seperti unsur nitrogen, phospate dan kalium yang diimport dari luar negara serta kenaikan kos bahan mentah.

“Perubahan polisi negara pengeksport input pertanian, gangguan logistik dalam tempoh pandemik serta bekalan baja dan racun dalam pasaran yang berkurangan juga punca kenaikan ini,” katanya.


Pengarang :