Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi tanah runtuh di Persiaran 3, Jalan FT01, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM46 juta baik pulih tanah runtuh kawasan Selayang, Ampang Jaya

SELAYANG, 30 DIS: Sejumlah RM46 juta diperlukan untuk pemulihan kekal di lokasi tanah runtuh bagi seluruh kawasan Selayang dan Ampang Jaya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 11 kawasan tanah runtuh kritikal di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dikenal pasti memerlukan baik pulih segera.

“Antara kerosakan di Apartment Teratai dan Kerajaan Negeri akan berbelanja kira-kira RM1.6 juta untuk betulkan tebing runtuh yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

“Secara asasnya kejadian yang berlaku di tanah kerajaan kita tiada masalah dan mungkin ada dua kes melibatkan tanah individu yang akan diselesaikan. Kita juga akan bincang dengan Kerajaan Pusat berkaitan jumlah bantuan yang boleh dibantu, namun Kerajaan Negeri laksana dahulu kawasan kritikal,”katanya selepas meninjau Apartment Teratai hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, seramai 38 keluarga di Apartment Teratai menerima RM1,000 menerusi inisiatif Selangor Bangkit dan membantu mengusahakan bantuan zakat.

“Walaupun penduduk tidak terkesan akibat banjir kita tetap masukkan mereka dalam senarai penerima bantuan kerana harus berpindah lama ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.

“Selain PPS, mereka juga boleh berpindah ke rumah keluarga lain atau lokasi yang dirasakan bersesuaian sekiranya tidak berasa selesa,” katanya.

Selepas meninjau Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang kira-kira jam 10.45 pagi, Amirudin bergerak ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Seramai 38 keluarga di pangsapuri itu diarah berpindah ke PPS berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh. Susulan kejadian MPS telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.


Pengarang :