Pekerja kontraktor KDEBWM membersihkan timbunan sampah sisa banjir di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pad 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

RM6 juta dibelanja urus sampah pascabanjir di Selangor

SHAH ALAM, 31 DIS: Sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurus sampah pascabanjir setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata Selangor memerlukan RM10 hingga RM20 juta untuk menyelesaikan proses pembersihan dan pungutan sampah berkenaan.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk Ikhtiar Selangor Bangkit meliputi RM20 juta bagi pembersihan dan pemulihan manakala RM80 juta untuk pembinaan semula infrastruktur.

Pekerja KDEBWM membantu penduduk membersihkan kawasan terjejas akibat banjir di Pekan Batu 14, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita sedang giat dengan kerja pembersihan dan di Hulu Langat khususnya kawasan Taman Sri Nanding, proses kutipan dan pembersihan dijalankan dengan skala sangat besar, meliputi lebih 70 peratus.

“Sekarang kita kena tumpu di kawasan Taman Sri Muda dan sekitar yang masih rendah (perkembangannya)… hari ini kita dah tambah 200 buah lori yang kita sudah aturkan untuk kawasan itu. Jadi saya harap kita boleh selesaikan dalam masa seminggu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di sini hari ini.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan di Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang di Banting serta Kampung Asahan, Kuala Selangor baru dimulakan susulan banjir yang baharu sahaja surut sejak semalam ke tiga hari lepas.

Setakat ini, lebih 20,000 tan sampah pascabanjir diuruskan oleh Kerajaan Negeri selain 7,000 tan sampah domestik harian melalui anak syarikat negeri, KDEB Waste Management.

– BERNAMA

Kelihatan beberapa beberapa lori termasuk jengkaut KDEB Waste Management berada di kawasan perumahan bagi mengangkut sampah akibat banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :