Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media khas berkenaan isu banjir di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rujuk EXCO elak bantuan banjir bertindih, lambakan barang

SHAH ALAM, 21 DIS: Sukarelawan luar yang mahu membantu mangsa banjir di negeri ini disaran berhubung dengan EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi mengelak pertindihan, kerugian atau lambakan barang bantuan di sesuatu lokaliti.

“Ini tidak bermaksud kita ingin menghalang atau mengganggu keinginan mereka. Apa yang kita harapkan ialah dapat memberi fokus kepada lokalti-lokalti yang sewajarnya mendapat bantuan.

“Kita mengalu-alukan, jika mereka ingin pergi sendiri pun tidak mengapa tetapi kebimbangan saya berlaku kerugian dari segi kewangan, tenaga jika kawasan itu sudah dibantu,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Amirudin berkata nombor telefon Mohd Khairuddin sebagai penyelaras sukarelawan dan belia serta pihak yang berkaitan akan dimaklum segera menerusi media sosial.

Selain Mohd Khairuddin, beliau menambah EXCO lain juga mempunyai peranan masing-masing dalam usaha memulihkan semula Selangor selepas banjir.

Katanya, antara tugas mereka ialah V Ganabatirau sebagai penyelaras bantuan kebajikan, Ng Sze Han (pembersihan kawasan banjir) dan Ir Izham Hashim (pemulihan infrastruktur).

Selain itu. Dr Siti Mariah Mahmud serta Borhan Aman Shah (bantuan kesihatan), Rodziah Ismail (bantuan di pusat pemindahan) dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (pemantauan di masjid, surau).


Pengarang :