Pengunjung hadir bersama keluarga pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sambutan Hari OKU peringkat negeri di Pesta Buku Selangor esok

SHAH ALAM, 2 DIS: Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat negeri disambut esok di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serentak dengan Pesta Buku Selangor 2021.

Sambutan bakal dilancarkan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud pada jam 2 petang.

Pesta memasuki hari kedua itu menampilkan penceramah bebas Syamsul Debat dalam program bertajuk Mencari Kegembiraan Bekerja Dalam Norma Baharu sebagai acara pembukaan.

Antara program yang turut dijadualkan ialah slot diskusi bertajuk Awas Bahaya Pedofilia: Kenali dan Hindari yang disampaikan pegawai psikologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta Media Sosial dan Keusahawanan yang dikendalikan Telekom Malaysia.

Beberapa program lain turut berjalan pada sebelah pagi termasuk bual bicara secara dalam talian antaranya mengenai penerbitan buku kanak-kanak dan sesi Quran Time

Sementara itu sesi petang menampilkan persembahan kumpulan nasyid In-Team dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Naurah Care bagi memeriahkan suasana serta menghiburkan pengunjung.

Sasterawan Dr Shamsuddin Osman turut hadir bagi acara Bicara Hati dan Minda Sasterawan pada jam 2.30 petang.

Pesta 11 hari sehingga 12 Disember itu  berlangsung dari jam 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik melibatkan 152 gerai jualan.

Selain dapat menyertai pelbagai aktiviti bersifat ilmiah secara santai, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

 


Pengarang :