EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud meninjau proses suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sambutan luar jangkaan, perlu janji temu untuk dos penggalak Selvax

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri tidak meneruskan kaedah tanpa janji temu (walk in) berikutan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mendapat sambutan di luar jangkaan.

EXCO kesihatan awam berkata langkah itu diambil bagi mengawal bilangan peserta seterusnya mengurangkan kesesakan di klinik.

“Sambutan bukan lagi menggalakkan tetapi melebihi jangkaan mungkin disebabkan kita buka kepada 18 tahun ke atas dan tidak hanya menumpukan kepada warga emas dan komorbid.

“Saya akui ada masalah logistik kerana yang datang itu luar jangkaan daripada ‘walk in’ kita ubah kepada pra daftar tetapi masih ada yang tidak tahu jadi berlaku pertindihan dengan jumlah yang datang melebihi kapasiti klinik,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan tinjauan pemberian dos penggalak di Klinik Selcare di Seksyen 13 di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata faktor lain menyebabkan Selvax Booster mendapat sambutan kerana terdapat golongan yang mahukan vaksin jenis Sinovac dan ada yang belum menerima janji temu MySejahtera serta masih lambat.

“Saya nasihatkan orang ramai tidak terburu-buru kerana stok 157,000 vaksin itu hanya boleh dihabiskan dalam tempoh sekitar dua bulan kerana sehari satu klinik hanya membekalkan 150 dos.

“Bagi yang sudah dapat janji temu, datang sebelah petang pun tidak mengapa kerana kita dapati ramai pada sebelah pagi sedangkan program ini berakhir waktu petang,” katanya.


Pengarang :