Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop menyerahkan kerusi roda kepada Pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Nurul Hamiza Mis pada 22 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sasar kutipan zakat RM1 bilion, bantu lebih ramai individu

SHAH ALAM, 17 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka kutipan zakat tahun ini mengatasi sasaran RM970 juta yang membolehkannya membantu lebih ramai asnaf dan golongan terjejas.

Ketua pegawai eksekutifnya turut berharap jumlah itu mencecah sehingga RM1 bilion, bersamaan perbelanjaan dikeluarkan agensi berkenaan untuk membantu dan menjalankan program kebajikan.

Saipolyazan M Yusop menjelaskan angka itu diperlukan berikutan tambahan penerima bantuan selain asnaf susulan ramai menjadi ‘miskin sementara’ akibat Covid-19 sejak awal tahun lalu.

“Zakat Selangor optimis dengan momentum sekarang boleh melepasi kutipan tahun lalu, RM913 juta dan sasaran (RM970 juta) kerana keperluan perbelanjaan zakat kita berjumlah RM1 bilion,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia di RTM hari ini.

Jelasnya, agihan meliputi RM200 juta bayaran bulanan kepada asnaf, serahan makanan kepada 14,000 rumah, bantuan sewa rumah 12,000 asnaf, RM32.6 juta kepada 66,000 murid dan kewangan kepada tahfiz.

Saipolyazan berkata usaha memperhebat kutipan dibuat dengan mengadakan program seperti kempen My2.5 bagi meningkatkan kesedaran membayar zakat dan mengagihkan kepada golongan memerlukan.

“Kempen itu membawa mesej setiap zakat dibayar walaupun sedikit namun ertinya besar buat penerima.

“Menyedari ramai membayar zakat pada Disember, Zakat Selangor juga membuka kaunter pembayaran setiap hari dan melanjutkan operasinya sehingga 8 malam pada 29 hingga 31 Disember,” katanya.

Beliau juga menggalakkan bayaran zakat dalam talian melalui https://fpx.zakatselangor.com.my.


Pengarang :