Pengunjung hadir bersama keluarga pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sasterawan disaran hasilkan genre baharu seiring teknologi

SHAH ALAM, 3 DIS: Sudah tiba masanya untuk para sasterawan menghasilkan karya genre baharu yang bersesuaian dengan keadaan semasa, kata Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

Sasterawan Negara itu berkata evolusi baharu berkenaan boleh dikarang dengan menggabungkan audio atau video selari perkembangan pendigitan.

“Kena bekerjasama dengan orang yang mahir supaya genre sastera baharu ini dapat dilahirkan. Sekarang tak nampak lagi tetapi untuk akan datang.

“Bagaimanapun kena jaga perkara penting. Tolong jaga ketepatan dan bahasa sastera. Kedua, kena sampaikan mesej baik dan beri nilai estetika di samping memandaikan generasi,” katanya.

Penulis novel ‘Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman’ itu berkata demikian ketika program bual bicara Hati dan Minda Sasterawan di Pesta Buku Selangor 2021 semalam.

Sementara itu beliau berkata pesta berkenaan mampu merapatkan sasterawan dan karya sastera kepada masyarakat.

“Ini kaedah pendekatan yang sangat bagus. Kita mahu melahirkan generasi membaca. Lepas ini boleh bawa sasterawan ke sekolah pula untuk perkenalkan dengan generasi muda,” katanya.

Pesta Buku Selangor diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sehingga 12 Disember depan yang berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menampilkan tokoh dan selebriti terkenal antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :