Muhammad Rosli, 23 (kiri) dan Ahmad Rosli, 23 (kanan) ketika ditemu bual di rumahnya di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 28 Disember 2021. Sebelum ini, Muahammad membangkit isu timbunan sampah sisa banjir di Facebooknya dan mendapat maklum balas dari Dato’ Menteri Besar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sedih komputer riba hanyut dalam banjir, alat lukisan rosak

SUBANG, 29 DIS: Luluh hati Ahmad Rosli melihat komputer riba digunakan untuk menyiapkan projek akhir universiti rosak susulan banjir pada 18 Disember lalu.

Salah seorang pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, memaklumkan peralatan lukisannya bernilai lebih RM1,000 turut rosak.

Jelasnya, tugasan projek akhir itu dimulakan sejak sebulan lalu untuk melengkapkan pengajian Diploma Seni Grafik di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).

“Komputer riba itu diletak atas almari tetapi almari itu roboh dan jatuh dalam banjir, alat lukisan pun rosak.

“Sedih juga tetapi pensyarah beritahu jangan bimbang dan selesaikan dahulu rumah dilanda banjir,” katanya yang meminati lukisan potret.

Rumah mereka di Kampung Tengah Puchong antara yang terjejas teruk susulan banjir, dua minggu lalu.

Ahmad dan adiknya Muhammad, 23, adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Mereka menjalani pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi yang ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Muhammad yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer kini bekerja sebagai ketua projek teknologi maklumat di salah sebuah syarikat di Cyberjaya.


Pengarang :