Selangorkini
Pasukan debat Sekolah Alam Shah, Putrajaya muncul juara Pertandingan Debat Bahasa Melayu Yayasan Selangor ke-12 pada 4 Disember. Foto Yayasan Selangor
AGENDA AGENSI NASIONAL PENDIDIKAN SELANGOR

Sekolah Alam Shah juara debat bahasa Melayu anjuran Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 7 DIS: Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) Putrajaya muncul juara Debat Bahasa Melayu anjuran Yayasan Selangor apabila menewaskan pencabar tradisi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dalam pertandingan akhir pada 4 Disember.

Dalam pertandingan secara dalam talian sepenuhnya, pasukan SAS yang beraksi sebagai pihak ‘kerajaan’ dengan tajuk ‘Undi 18 Bukan Yang Belia Mahu’ menang dengan margin 1.33 dan juri 6-1.

Yayasan Selangor dalam kenyataan berkata, sebagai juara, pasukan SAS berjaya membawa pulanh hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil.

“Sebagai naib juara, pasukan MCKK menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala iringan dan sijil pencapaian,” kata kenyataan itu.

Yayasan Selangor telah menganjurkan Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor Ke-12 yang telah berlangsung sepenuhnya secara dalam talian buat julung kali berikutan pandemik Covid-19 mulai 27 November hingga 4 Disember.

Kata kenyataan itu, pendebat MCKK, Carshief Darius Ambar Saiful Ambar muncul pendebat terbaik sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM500, piala iringan dan sijil.

Juara Pidato Bahasa Melayu Yayasan Selangor Hafiz Danish Darwis dari MCKK. Foto Yayasan Selangor

Sementara itu, jelasnya pertandingan Pidato Bahasa Melayu dimenangi peserta dari MCKK, Hazif Danish Darwis yang membawa tajuk ‘Keluarga Malaysia: Kita Bersama’.

Tengku Muhammad Danish Tengku Shaifful Bahri dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin pula muncul juara Pidato Bahasa Inggeris dengan tajuk ‘Colours of Our Country’, katanya.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM800, piala dan sijil.

Dalam pada itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua peserta pertandingan kali ini.

“Pertandingan seperti ini amat dialu-alukan sebagai melengkapkan proses pendidikan pelajar seiring Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Pertandingan debat dan pidato itu menerima penyertaan 135 pelajar melibatkan 22 buah sekolah dari seluruh negara.


Pengarang :