Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas majlis penyerahan bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sekolah Kafa Integrasi Imam Al-Ghazali bakal dinaik taraf

KLANG, 12 DIS: Warga Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Imam Al-Ghazali, Meru di sini mampu menarik nafas lega apabila bangunan reput dimamah anai-anai sejak hampir 13 tahun lalu bakal dibaik pulih tidak lama lagi.

Wakil guru Safudin [email protected], 48, berkata kerja naik taraf struktur dinding dan bumbung bilik darjah, bilik guru serta pejabat yang uzur akan dilaksanakan melalui dana Kerajaan Selangor berjumlah RM47,000.

“Ketika saya mula mengajar di sekolah ini kesan reput pada bahagian bumbung dan dinding tidak jelas kelihatan, namun lama-kelamaan ia semakin merebak sehingga menjejaskan sesi pembelajaran murid dalam kelas.

Wakil guru Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Imam Al-Ghazali, Safudin [email protected]

“Alhamdulillah, bantuan daripada Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya dapat membantu pihak sekolah untuk baik pulih kerosakan tersebut. Insya-Allah, pembinaan akan dibuat secepat mungkin selepas perbincangan diadakan bersama pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Safudin turut memaklumkan sebelum ini sekolah terbabit menerima dua kali bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk membaik pulih kantin, surau dan tandas yang rosak akibat dilanda banjir.

“Jadi, hari ini merupakan bantuan ketiga yang diperoleh dan berharap dapat menjamin keselesaan kepada kira-kira 800 pelajar termasuk guru,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kwang Hua Datuk Loo Chee Wee berkata bantuan diperoleh akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan sukan sekolah terbabit.

Menurutnya, sekolah berusia kira-kira 50 tahun memerlukan penambah baikan tersebut untuk kegunaan seramai 3,200 pelajar.

“Kami juga sedang membina gelanggang bola keranjang baharu termasuk dua gelanggang serbaguna,” katanya.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kwang Hua, Datuk Loo Chee Wee

Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Kwang Hua Chia Seong Pow pula berkata dana diterima akan digunakan untuk membina dewan baharu berikutan dewan sedia ada yang dibina 25 tahun lalu tidak mampu menampung pertambahan pelajar.

“Pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun depan selepas mendapat kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Selangor membelanjakan sejumlah RM23.2 juta untuk bantuan infrastruktur kepada 637 sekolah seluruh negeri tahun ini.

Dana tersebut memanfaatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SMJKC, SMPC, sekolah mubaligh, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.


Pengarang :