Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau tapak pembinaan Hab Sekuriti Makanan Selangor Smart Agro Park di Changkat Menteri, Sabak Bernam pada 26 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sektor pertanian pacu hasil baharu negeri, kerja gaji lumayan

SHAH ALAM, 11 DIS: Penekanan kepada sektor pertanian dalam Belanjawan Selangor 2022 mampu mewujudkan hasil baharu dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada masyarakat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor berkenaan mempunyai peluang besar diterokai berdasarkan nilai dagangan negara dalam bidang itu yang meningkat sejak 90-an dan kini mencatat RM22 bilion.

Menurutnya, jurang itu memberi peluang kepada Selangor yang dijelmakan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Selangor 2022 antaranya menjadikan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan serta pemodenan industri pertanian.

“Pertanian masa kini harus berteraskan teknologi yang mampu meningkatkan pengeluaran, contohnya menerusi penggunaan dron untuk menyembur racun atau pengaliran..maksudnya lebih cekap maka hasil petani dan kerajaan bertambah.

“Sektor lain juga bakal menerima tempiasnya seperti penyelenggaraan jentera, kitaran ini akan mewujudkan peluang kerja berpendapatan tinggi,” katanya pada program Table Talk disiarkan di Facebook Media Selangor malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan utama di negeri Selangor.

Beberapa inisiatif baharu dilaksanakan bagi membangunkan daerah itu secara terancang antaranya membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan yang membabitkan pelaburan RM500 juta.

Amirudin turut mengumumkan pembangunan projek hab sekuriti makanan berteknologi tinggi Selangor Smart Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri, Sabak Bernam yang bermula suku pertama tahun depan.

 


Pengarang :