EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim (kanan) mengadakan lawatan ke Projek Tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Peradong, Terengganu pada November 2021. Foto ihsan Ir Izham Hashim
AGENDANASIONAL

Selangor bakal lancar lima projek tanaman tahun ini

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri akan mengusahakan lima projek tanaman yang bakal dilancar dalam tempoh terdekat.

EXCO industri asas tani berkata tanaman itu merangkumi melon manis, betik, jagung manis, kobis dan timun dengan lokasi penanaman akan dimaklumkan kemudian.

“Kita telah mengadakan lawatan ke Projek Tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Peradong bulan lalu di mana benih buah ini dikeluarkan dan dihasilkan syarikat swasta dari Batu Arang, Selangor.

“Kita ada perjanjian persefahaman dengan syarikat tersebut bagi menghasilkan benih yang sesuai dengan keadaan di Selangor. Ia bukan hanya melon manis malah betik, jagung manis, kobis dan timun juga akan kita usahakan dan lancarkan sebelum berakhir tahun ini,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Izham berkata lawatan kerja itu juga turut meninjau projek belut air tawar di Setiu yang dilihat berpotensi diusahakan di negeri ini.

“Ia dilihat berpotensi dijadikan produk hiliran serta sesuai untuk dieksport secara mentah, beku dan hidup ke Jepun kerana permintaan dari negara itu sangat tinggi.

“Kita akan berbincang dengan syarikat ini bagaimana dapat bekerjasama dan beri sokongon kerana mereka ada perancangan untuk mengusahakannya di negeri ini di Ampang Pecah,” katanya.

Beliau berkata lawatan itu juga secara tidak langsung membantu pihaknya merancang dengan lebih teratur dalam memastikan projek tanaman berjaya dilakukan.


Pengarang :