Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) meninjau lokasi tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor Bangkit: Bantuan awal RM2 juta pulihkan semula Hulu Langat

HULU LANGAT, 23 DIS: Sejumlah RM2 juta daripada peruntukan Selangor Bangkit disalur ke Hulu Langat bagi memulihkan semula sebahagian besar daerah itu yang terkesan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu boleh digunakan mulai esok dan sebarang keperluan tambahan akan dibawa ke jawatankuasa khas negeri.

“Ini peringkat awal (sumbangan) kerana di sini ramai mangsa dan kesannya juga teruk. Sepanjang jalan kita lihat kesesakan, kerosakan dan runtuhan yang tiada di tempat lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau dan mendengar taklimat banjir di daerah berkenaan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Serai hari ini.

Antara kawasan dilawati Amirudin ialah Sungai Layang dan Sungai Lui selain mendengar taklimat wakil Jabatan Kerja Raya berhubung tanah runtuh di Genting Peras.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika taklimat situasi terkini banjir di Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada Selasa, Kerajaan Selangor memperuntuk RM100 juta melalui Ikhtiar Selangor Bangkit susulan tragedi banjir di beberapa daerah negeri ini antara 17 hingga 19 Disember.

Amirudin berkata sejumlah RM80 juta diagihkan bagi pembinaan semula infrastruktur manakala baki untuk operasi pembersihan.

Beliau turut mengumumkan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan insiden itu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat ketika tinjauan pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :