EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerima cenderahati daripada Pemangku Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Normaiza Yahya sempena program Fam Trip Media Dokumentari dan Promosi Industri Halal di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor bangun aplikasi semak status halal, mudahkan pengguna pilih produk

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan aplikasi halal yang memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk secara dalam talian dalam tempoh terdekat.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata aplikasi yang mesra pengguna itu juga membolehkan pengguna melihat bahan digunakan produk.

“Ketika ini kita sedang berunding dengan pihak kejuruteraan dalam merangka struktur sesuai. Bila imbas semua data produk akan tertera, jadi ia memudahkan pengguna menilai.

“Sementara belum dilancarkan, pengguna boleh gunakan aplikasi Smart Halal dibangunkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya pada sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan aplikasi itu juga seiring dengan agenda digitalisasi Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Masyarakat sekarang bukan hanya memfokuskan aspek halal dalam makanan sahaja sebaliknya pelbagai produk.

“Jadi aplikasi ini akan meliputi semua produk antaranya farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik,” katanya.

Pada 26 November ketika membentangkan  Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.


Pengarang :