Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni kariah Masjid Batu 14, Hulu Langat selepas menunaikan solat Subuh sempena program turun padangnya bagi membersihkan kawasan terjejas banjir pada 29 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor bantu pulih semula masjid terjejas bah

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan Negeri akan membantu memulihkan semula kerosakan dialami masjid sekitar Selangor yang terjejas dalam insiden banjir dua minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu ketika menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Batu 14, Hulu Langat hari ini.

“Saya turut melihat kerosakan dialami akibat bencana banjir. Pihak pengurusan masjid memaklumkan mereka sedang mengumpul dana bagi penggantian karpet, Insya-Allah kita akan bantu.

“Saya turut difahamkan beberapa masjid di kawasan-kawasan banjir turut mengalami kerosakan, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk bantu,” katanya di Facebook.

Amirudin dijadual melawat dan membersihkan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Batu 16/17 dan Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan bantuan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Kerosakan dialami Masjid Batu 14, Hulu Langat susulan banjir. Foto Facebook Amirudin Shari

Pengarang :