Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menyantuni sebahagian orang kelainan upaya (OKU) ketika Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2021 semasa Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor cakna OKU, jaya pelbagai inisiatif dan program

SHAH ALAM, 3 DIS: Pelbagai inisiatif serta program pemberdayaan dan pendayaupayaan orang kurang upaya (OKU) dilaksana bagi memastikan kebajikan golongan itu terjaga, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pembangunan pusat pendidikan anak istimewa Selangor (Pusat Anis) pada Ogos lalu membuktikan kecaknaan negeri untuk melatih dan meningkatkan kemahiran individu OKU sedari kecil.

“Pusat ini menyediakan perkhidmatan program intervensi awal sebagai persediaan ke peringkat prasekolah dan sekolah rendah selain melatih ibu bapa di rumah.

“Bengkel latihan ibu bapa, pendidik, sukarelawan dan orang awam di pusat tersebut turut menambah kemahiran serta pengetahuan mengurus anak istimewa di samping mengenal pasti simptom OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari OKU Sedunia peringkat negeri dilangsungkan serentak dengan Pesta Buku Selangor 2021 hari ini.

Jelasnya, pusat berkenaan mendapat kerjasama beberapa agensi antaranya Jabatan Anak Istimewa Selangor, Yayasan Warisan Anak Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Tahun hadapan Kerajaan Negeri bakal buka Pusat Kehidupan Berdikari yang menawarkan perkhidmatan asas dengan memberi tumpuan kepada aspek kendiri dan kemahiran berdikari untuk anak istimewa.

“Dengan penglibatan dan pakar pelbagai agensi, guru, jurupulih dan pengurusan Jabatan Anis, hasrat memperkasa anak istimewa untuk lebih mampan dapat direalisasikan,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 minggu lalu Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Jabatan Anis.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi Anis selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik Anis.


Pengarang :