Mangsa Banjir, (dari, kiri), Safari Samin, Darni Che Mat, Ismail Aziz, Mohd Mahrami Hanafi, menunjukan sampul bantuan Selangor Bangkit (BSB) ketika majlis penyerahan di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor giat agih bantuan banjir RM1,000 kepada mangsa

GOMBAK, 30 DIS: Bantuan Selangor Bangkit khusus buat penduduk negeri yang terkesan banjir sedang giat diagihkan, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak 28 Disember lalu sehingga hari ini penduduk di lima kawasan telah menerima bantuan.

“Semua daerah sedang berjalan untuk berikan bantuan. Contohnya hari pertama di Petaling, semalam di Hulu Langat manakala hari ini di Gombak dan Kuala Selangor.

“Bantuan perlu disegerakan kerana jumlahnya ramai dan boleh diberi oleh Ahli Dewan Negeri (ADN), ahli parlimen atau pegawai daerah, tidak semestinya Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Selangor Bangkit di Balai Penghulu Mukim Batu di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahan bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Amirudin, pihaknya juga mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Pusat mahu mengagihkan bantuan bersama program Selangor Bangkit kerana mangsa banjir yang sama.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Amirudin menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari depan.


Pengarang :