EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Negeri Selangor di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada 15 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kenal pasti pelabur asing, kembang industri halal

SHAH ALAM, 15 DIS: Beberapa pelabur asing dikenal pasti untuk dijadikan rakan strategik bagi mengembangkan sektor halal negeri ini, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata syarikat dari beberapa negara seperti Turki dan China akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebaik pintu sempadan negara dibuka kelak.

Beliau menjelaskan Selangor memiliki banyak produk halal merangkumi pelbagai komponen, namun memerlukan pihak yang boleh membantu mengetengahkannya ke peringkat global.

“Kita sedang berhubung dengan pelabur terbabit untuk adakan MoU. Insya-Allah, selepas dibuka sempadan negara kita akan adakan hubungan lebih strategik.

“Malah, ada beberapa usahawan muslim di China dan sebahagiannya beroperasi di Malaysia sedia jadi rakan kongsi serta melabur dalam sektor halal,” katanya pada sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Selangor di Mardhiyyah Hotels and Suites di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) – Aspire Flagship Sdn Bhd Mat Ghazali Mohd Rakim dan Setiausaha Pertubuhan Media Negeri Selangor Nuar Md Diah.

Mohd Zawawi berkata Ekspo Dubai yang bakal disertai Selangor pada awal Mac tahun depan menjadi platform terbaik untuk membina lebih banyak jaringan bersama pelabur selain memperkenalkan produk halal tempatan.

“Ekspo itu melibatkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar bagi mencari rakan strategik serta mempromosi produk halal. Mudah-mudahan ia membuka ruang kepada kita untuk kembangkan industri ini,” katanya.


Pengarang :