Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor membenarkan individu berumur 18 tahun dibenarkan menjadi calon wakil rakyat pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Selangor lulus had umur calon wakil rakyat turun kepada 18 tahun

SHAH ALAM, 6 DIS: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor  (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara layak menjadi wakil rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negeri (ADN) ketika sesi pengundian dijalankan.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau berterima kasih kepada semua wakil rakyat dan speaker yang bertanggungjawab dalam menyokong dan menerima pindaan itu.

“Terima kasih speaker, ahli dewan yang berbahas sepanjang usaha kita untuk pinda Undang Undang -Perkara 63 khusus tentang had umur pengundi dan yang dipilih dalam pilihan raya akan datang.

“Kalau kita tak ubah, persekutuan berupaya untuk kekal melaksanakan peraturan ini. Namun untuk solidariti, menjadi tanggungjawab semua untuk sokong dan terima pindaan ini yang telah diterima hampir semua negeri di mana Perak dan Perlis negeri terawal terima dan akan laksana tahun depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Speaker Ng Suee Lim ketika ditemui di luar sidang berkata pindaan tersebut menjadi lembaran baharu buat negeri ini di mana anak muda diberikan pengiktirafan bagi membolehkan mereka bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Suara anak muda kita dengari, kita akan pastikan penyertaan seramai mungkin selaras dengan undi 18 dan juga calon.

“Mungkin ada yang belum bersedia, ada perspektif berlainan tetapi di dewan ini kita nampak semua bersetuju baik dari pihak kerajaan, mahu pun pembangkang. Semuanya sebulat suara,” katanya.


Pengarang :