Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDANASIONAL

Selangor mungkin tambah kerusi Dewan Negeri

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan kerusi Dewan Negeri Selangor (DNS) bertambah susulan peningkatan pengundi berumur 18 tahun.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pertambahan penduduk dari negeri lain ke Selangor juga antara faktor mendorong kemungkinan itu.

“Kita juga harus fokus terhadap aspek kesekataan jumlah pengundi dalam negeri antara satu kawasan dengan kawasan lain bagi mengelakkan nilai undi tidak setanding dengan kawasan lain,” katanya.

Beliau mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung cadangan persempadanan semula pada sidang DNS hari ini.

Menurut Sze Han pindaan Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had usia kelayakan daripada 21 tahun kepada 18 tahun berkait dengan kelayakan mengundi serta menjadi Ahli Dewan Rakyat.

“Secara amnya, walaupun sudah melebihi dua tahun sejak pindaan ini diluluskan, proses ini akan selesai pada 31 Disember 2021 dan berkuatkuasa mulai 2022,” katanya.

Tambah beliau, kali terakhir bilangan kerusi Dewan Negeri Selangor ditambah adalah pada 2003 membabitkan penambahan daripada 48 kerusi kepada 56 kawasan di seluruh Selangor.


Pengarang :