Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik (e-Tanah) di Hotel Madhiyyah pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor negeri ketiga laksana projek sistem e-Tanah

SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor merupakan negeri ketiga melaksanakan projek sistem pentadbiran tanah secara elektronik (e-Tanah) selepas Kuala Lumpur dan Perak.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan projek itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM382.4 juta iaitu caj perkhidmatan dibayar kerajaan persekutuan kepada syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd.

Kos yang ditanggung syarikat konsesi terbabit pula sejumlah RM171.39 juta, kata Dato’ Seri Amirudin Shari .

“Kerajaan Selangor bersetuju dan memberi kebenaran untuk sistem e-Tanah dilaksanakan dalam pentadbiran tanah di negeri ini.

“Malah kita turut merasakan sudah tiba masanya inisiatif penyelesaian e-Tanah ini diperluaskan di Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta semua Pejabat Daerah dan Tanah Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Selangor di Hotel Mardhiyyah di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Amirudin berharap sistem yang dijangka siap pada Mac 2023 itu dapat diguna sebaik mungkin dan mencapai matlamatnya.

“Saya berharap sistem e-Tanah ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan tanah ‘end to end solution’ kepada pengguna terutamanya rakyat Selangor,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata proses pembangunan sistem e-Tanah akan bermula di pentadbiran tanah negeri dan dijangka selesai dibangun dan diguna pakai pada 2023.

Sistem e-Tanah dilaksana bagi memastikan penyeragaman pentadbiran tanah di negeri mengikut perundangan selain meningkatkan ketelusan serta mencegah ketirisan.


Pengarang :