EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap ketika majlis pelancaran Selangor International Halal Convention (Selhac) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 29 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tingkat usaha tambah pemegang sijil halal

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri akan menggiatkan usaha menambah pemegang sijil halal di Selangor terutama dalam kalangan pengusaha kecil bagi membolehkannya meneroka pasaran antarabangsa.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata dianggarkan 4,000 pengusaha di negeri ini sudah mempunyai sijil halal dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memproses 1,000 lagi permohonan.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan pengusaha mendapat pengiktirafan berkenaan termasuk dari kalangan peniaga bukan Islam.

“Mereka memohon kerana mahu meneroka pasaran antarabangsa yang mempunyai potensi besar.

“Peluang sama juga harus dimanfaatkan peniaga kita dan Kerajaan Negeri sedia bantu mereka mendapat pengiktirafan halal,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata penganjuran Selhac yang membabitkan pelbagai program sehingga tahun depan antara inisiatif Kerajaan Negeri menyokong pertumbuhan industri halal di Selangor.

Jelasnya, program itu akan diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan secara dalam talian selaras dengan norma baharu serta membolehkan lebih ramai peserta menghadirinya.

“Selhac adalah plaftorm mengembangkan rangkaian perniagaan pengusaha sektor halal selain bertukar pandangan antara satu sama lain,” jelasnya.


Pengarang :