Selangorkini
Jurusuntik memberi dos penggalak kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Semua penerima vaksin Sinovac, warga emas perlu ambil dos penggalak

SHAH ALAM, 16 DIS: Semua penerima vaksin Sinovac perlu mengambil dos penggalak selewat-lewatnya Februari tahun depan, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata semua warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang lengkap vaksin juga perlu berbuat demikian dalam tempoh tersebut.

“Sekiranya kumpulan individu dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

“Individu tersebut tidak layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya dalam sidang media yang disiarkan melalui Zoom hari ini.

Khairy berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan semua penerima dos lengkap Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas tanpa mengira jenis vaksin siri primer perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

“Cadangan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember,” katanya.

Katanya sehingga hari ini kerajaan telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, CoronaVac keluaran Sinovac dan AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

“Lanjutan itu pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya.

 

 

 


Pengarang :