Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di SMK USJ 23,Subang Jaya pada 24 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Separuh mangsa banjir di pusat pemindahan kembali ke rumah

SHAH ALAM, 24 DIS: Separuh daripada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini telah kembali ke rumah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 17,912 orang masih berada di 94 PPS setakat jam 3 petang sejak Sabtu.

“Kerja-kerja pengepaman air sedang dilipatgandakan di kawasan lain supaya mangsa banjir boleh kembali ke kediaman masing-masing sesegera mungkin,” katanya di Twitter.

Mulai semalam, Amirudin bersama wakil rakyat setempat meninjau dan membantu operasi pembersihan di sekitar Shah Alam, Hulu Langat dan Petaling.

Setakat malam tadi, sebanyak 2,376 tan metrik sampah diangkut oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan 494 lori dan 39 pengorek kaut.

Beliau turut mengumumkan bantuan awal RM2 juta melalui peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula Hulu Langat yang terjejas teruk.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :