Mangsa banjir membuat pendaftaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam selepas rumah mereka dinaiki air pada 18 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sesi sekolah penggal tiga ditangguh seminggu, mula 9 dan 10 Januari

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Jan dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan ini.

“Sepertimana yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan bermula 2 Jan 2022 bagi Kumpulan A dan 3 Jan 2022 bagi Kumpulan B.

“Walau bagaimanapun (keputusan ini) mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, guru-guru, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“…juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pun sekolah yang terjejas teruk,” katanya menerusi hantaran video di Instagram rasmi beliau.

Radzi berkata maklumat lanjut mengenai penangguhan sesi persekolahan itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.

Beliau berkata KPM cakna kepada kebajikan guru, murid dan ibu bapa dalam konteks banjir semasa dan memaklumkan, kementerian itu memahami pihak terbabit memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum memulakan sesi persekolahan semula.

– BERNAMA


Pengarang :