EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Dato’ Teng Chang Khim bercakap ketika sidang media laporan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Pertunjukan Udara Selangor (SAS) di bilik gerakan MTES, Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SIBS 2021 catat RM217.6 juta potensi jualan, angka membanggakan ketika pandemik

SHAH ALAM, 9 DIS: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 dianjurkan pada November merekodkan RM217.6 juta potensi jualan, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata angka berkenaan dianggap pencapaian membanggakan dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.

“Jumlah ini menghampiri rekod tertinggi pernah dicatatkan pada 2019 sebanyak RM247 juta. Kita tak jangka dapat hampiri jumlah berkenaan.

“Kita juga tidak menyangkakan kehadiran pengunjung seramai 25,410 individu terdiri dari peniaga, pengimport, pemborong, peruncit dan orang awam. Sasaran awal 10,000 orang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media laporan penganjuran SIBS dan Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Chang Khim berkata pameran tahun hadapan diadakan pada Oktober akan melibatkan lebih ramai indvidu memiliki asas perniagaan dan produk yang bagus.

“Kita jalin kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk artis. Kita tidak lihat dari segi personaliti atau pengaruh sebaliknya lebih kepada produk mereka,” katanya.

SIBS 2021 berlangsung secara fizikal pada 18 hingga 21 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyediakan 494 tapak pameran fizikal serta 623 gerai secara maya.

Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerusi syarikatnya CTDK Holdings turut menyertai pameran berkenaan.

Ketika ini SIBS edisi maya diteruskan di portal perdagangan rasmi Selangor www.selangorbusinesshub.my sehingga Oktober 2022.

Pada 30 November Chang Khim memakluman SIBS merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjurannya dengan menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.


Pengarang :