Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan di Dewan Negeri Selangor pada 1 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sistem pintar Inisiatif Peduli Rakyat mudahkan rakyat buat permohonan, semakan

SHAH ALAM, 1 DIS: Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) yang dibangunkan Kerajaan Negeri memudahkan rakyat melakukan proses permohonan dan semakan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) secara dalam talian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem itu menjadi platform untuk rakyat menikmati 33 manfaat IPR disediakan Kerajaan Negeri.

“SSIPR merupakan gerbang berasaskan konsep pusat sehenti bagi memudahkan rakyat melaksanakan urusan pendaftaran, permohonan dan semakan dalam talian bagi inisiatif IPR.

“Bagi tujuan pendaftaran dan semakan kelayakan, maklumat pemohon yang direkod dan disimpan SSIPR hanya yang asas seperti jantina, bangsa, alamat, pendapatan, pekerjaan serta status perkahwinan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin adakah SSIPR mencatat maklumat penting penerima bantuan oleh Jabatan Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Amirudin berkata, setiap wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) juga hanya boleh meneliti data pemohon IPR di kawasan masing-masing tertakluk lima skim yang memerlukan pengesahan pejabat wakil rakyat.

Katanya, skim itu meliputi program Jom Shopping Perayaan, Kasih Ibu Smart Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, Program Bantuan Sekolah Selangor dan Skim Ceria.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri melaksanakan sesi Transfer of Technology (ToT) bersama pihak vendor dan wakil pejabat ADN bagi memberi tunjuk ajar berkaitan penggunaan pengesahan permohonan lima skim IPR pada Januari lalu.

“Sesi ini dimaklumkan bahawa SSIPR boleh memaparkan maklumat pemohon di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing. Satu manual pengguna turut disertakan dalam SSIPR untuk rujukan lanjut,” katanya.


Pengarang :