Gelagat kanak kanak mangsa banjir santai sambil memakan makanan ringan ketika tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan pada 23 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Situasi banjir di Dengkil semakin pulih

DENGKIL, 25 DIS: Situasi banjir di sekitar kawasan Dengkil semakin pulih, seminggu selepas dilanda banjir teruk.

Cuaca juga semakin baik dengan rata-rata penduduk dilihat giat membersihkan rumah, menjemur permaidani dan perabot yang boleh digunakan manakala premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai runcit juga telah mula beroperasi.

Tinjauan Bernama mendapati banjir surut sepenuhnya di sekitar Taman Permata, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil dan Kampung Sri Tanjung yang dinaiki air setinggi kira-kira 0.3 meter, Sabtu lepas.

Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga dilihat sedang membersihkan SJKT Dengkil bersama sukarelawan.

Pegawai Operasi Zon KLIA Penolong Penguasa Bomba Norhaizat Ramli ketika ditemui di sekolah berkenaan berkata tiga pasukan bomba dari KLIA digerakkan untuk membantu mangsa di sekitar sekolah itu, Kampung Jenderam dan Bukit Changgang hari ini.

Beliau berkata bantuan pascabanjir dilaksanakan hari ini memandangkan sebelum ini pasukannya terlibat dengan kerja sanitasi di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

“Di SJKT Dengkil, hampir 70 peratus peralatan yang rosak telah dikeluarkan seperti kerusi dan meja dengan bantuan sukarelawan.

“Kami akan berada di sini sepanjang hari ini bagi membekalkan air untuk mencuci kawasan (dalam sekolah) terjejas banjir lumpur,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :