Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sukarelawan dinasihat selamatkan mangsa banjir Taman Sri Muda waktu siang

SHAH ALAM, 20 DIS: Badan bukan kerajaan atau individu yang ingin membantu menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda diminta tidak melakukannya pada waktu malam demi keselamatan mereka, kata Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

“Pada siang hari kita nampak keberadaan mereka, jika terjadi apa-apa penghuni rumah pun nampak dan boleh maklumkan kepada kami,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana Bomba Seri Muda hari ini.

Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata keadaan banjir di Taman Sri Muda kini berada pada paras kira-kira satu meter lebih dan keadaan menyelamat masih lagi diteruskan dan setakat ini lebih 570 mangsa dikeluarkan dari kawasan bencana itu.

“Ada juga mangsa yang keluar sendiri dari kawasan itu dari pelbagai arah yang turut dibantu pelbagai pihak,” katanya sambil memberitahu terdapat 4,400 rumah di kawasan itu.

Beliau berkata operasi menyelamat turut berhadapan dengan halangan yang menyukarkan pergerakan bot penyelamat seperti tiang elektrik dan pagar serta kereta-kereta yang terapung.

Nor Hisham berkata pada peringkat awal ketika air naik, pihak berkuasa telah meronda dan meminta penduduk untuk keluar namun rata-rata mereka tidak menjangka air akan naik dengan begitu tinggi.

Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata bantuan akan disegerakan dan pada masa sama misi untuk menyelamatkan mangsa juga berisiko kerana mangsa terpaksa meniti di atas bumbung rumah.

“Oleh itu kami memerlukan kepakaran tertentu untuk memastikan apabila mereka keluar, mereka keluar dengan selamat,” katanya.

Aminuddin juga mengingatkan kepada badan-badan atau individu yang hendak membantu mangsa di Taman Sri Muda untuk berdaftar dengan NADMA bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

– BERNAMA


Pengarang :