Klinik Kesihatan Jenjarom, Banting yang turut menempatkan CAC dinaiki air pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San
AGENDANASIONAL

Sukarelawan masjid Jenjarom bantu urus penempatan mangsa banjir

KUALA LANGAT, 20 DIS: Memahami situasi buruk di sekitar kawasan Jenjarom, Kuala Langat akibat banjir, sekumpulan sukarelawan dari Masjid Kampung Jenjarom turut mengambil inisiatif sama seperti beberapa surau dan masjid di sekitar Selangor yang membuka pintu sebagai penempatan sementara kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Ketua Biro Kebajikan Masjid Kampung Jenjarom, Mohd Muslimen Omar berkata penempatan itu dibuka sejak Sabtu lepas memandangkan ramai mangsa banjir tidak dapat dibawa ke pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Jenjarom selepas laluan terputus hubungan akibat banjir.

“Seramai 120 orang daripada 60 keluarga berada di masjid ini. Kami juga menyumbang tenaga membantu mangsa di Pusat Penempatan Sementara Dewan Orang Ramai Kampung Jenjarom,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seramai 50 sukarelawan dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga membantu mangsa banjir termasuk menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa yang terkandas di rumah dan terputus bekalan makanan di sekitar kawasan Jenjarom.

Selain itu, Tabung Bencana Banjir Jenjarom telah dilancarkan oleh Masjid Kampung Jenjarom bagi meringankan beban mangsa banjir yang terlibat.

Mohd Muslimen yang mengakui air banjir mula surut di kawasan berkenaan, berkata sukarelawan kini juga menumpukan perhatian kepada proses pembersihan rumah mangsa banjir di kawasan tersebut.

Jenjarom di bawah Mukim Teluk Panglima Garang merupakan antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di daerah Kuala Langat susulan hujan berterusan tanpa henti sejak Jumaat lepas.

Sementara itu, menurut Majlis Perbandaran Kuala Langat, sebanyak 16 PPS dibuka setakat ini di daerah itu dan terdapat sekitar 4,000 mangsa daripada 818 keluarga.

Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang, SK Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dan SK Labohan Dagang.

Selain Teluk Panglima Garang, Mukim 12 kini merupakan mukim yang terjejas teruk di Kuala Langat berikutan limpahan air sungai dan empangan yang berlebihan.

Bencana banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pemandu terkandas akibat jalan raya sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

– BERNAMA


Pengarang :