Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menerima sumbangan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri sempena majlis pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tabung khas pemulihan banjir kumpul RM2.23 juta, sumbangan masih dibuka

SHAH ALAM, 27 DIS : Sejumlah RM2.23 juta dikumpul menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi membantu memulihkan kawasan terjejas akibat banjir setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberi sumbangan terdiri individu, syarikat serta kerajaan negeri Kedah dan Kelantan.

“Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati menghulurkan sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini kita akan kembalikan kepada setiap keluarga dan individu memerlukan dalam negeri ini khususnya yang terjejas banjir. Insya-Allah setiap sen akan digunakan sebaiknya kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Amirudin sumbangan masih dialu-alukan dan dibuka sehingga selesai urusan pembersihan banjir di negeri ini.

Individu atau syarikat yang mahu menyumbang boleh melakukan pembayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref : Tabung Ikhtiar).

Kerajaan Negeri melancarkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Sebagai permulaan,  Dato’ Menteri Besar menyumbang sebulan gaji bagi membantu mereka yang terkesan dengan insiden terbabit.


Pengarang :