Christinea Rajagopal bersama sebahagian kecil kanak-kanak yang mendaftar di Tadika Cendikia Intelek, Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

Tadika percuma bantu keluarga susah ketika PKP

SHAH ALAM, 28 DIS: Hilang 90 peratus pendapatan tidak merisaukan pengusaha tadika Christinea Rajagopal, 46, sebaliknya bayangan anak-anak tidak kenal huruf lebih menakutkannya.

Sedar ibu bapa tidak menghantar anak lantaran bimbang jangkitan Covid-19, beliau mengambil inisiatif membuka kelas dalam talian. Biarpun ‘sakunya tidak berhabuk’, beliau tidak mengutip yuran sesen pun. Hanya mahu memastikan generasi masa depan celik huruf.

Dibantu anak tunggal Jesse Ebenezei, 23, pengusaha Tadika Cendikia Intelek itu mengambil murid baharu tidak kira kaum dan agama. Bukan seorang dua tetapi lebih 20 kanak-kanak semuanya.

“Saya minta tolong ketua kampung dan persatuan penduduk cari orang susah yang mahu sekolahkan anak tetapi tidak mampu bayar yuran prasekolah.

Christinea Rajagopal yang berpengalaman selama 23 tahun mendidik kanak-kanak menawarkan khidmat percuma secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kebanyakan berusia enam tahun. Tahun depan masuk darjah satu tetapi ketinggalan prasekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bila masuk sekolah, tidak ada asas langsung. Ini yang kita risau, kasihan,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Christinea yang berpengalaman 23 tahun dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak membuka tadika pada 2015. Tahun pertama operasi agak suram. Hanya tiga murid mendaftar. Beliau terpaksa menghabiskan banyak wang simpanan. Mujur wanita itu ada pendapatan sampingan sebagai perunding pengurusan pejabat.

Menjelang tahun kedua, bilangan bertambah kepada 10 orang. Christinea yang pernah menjadi pengetua tadika selama 18 tahun memperhebat pemasarannya menjelang musim persekolahan 2017.

Usahanya berhasil. Lebih 80 murid mendaftar. Dibantu empat kakitangan terlatih, beliau memperluas perkhidmatan kepada penjagaan selepas sekolah dan kelas tuisyen darjah satu hingga enam. Tadika di Desa Latina, Shah Alam itu yang dibuka menggunakan hasil wang simpanan selain pinjaman RM5,000 daripada Hijrah Selangor kian dikenali ramai.

Namun, pelaksanaan PKP pada awal 2020 banyak menjejas pendapatannya. Kebanyakan ibu bapa bekerja di rumah dan tidak lagi menghantar anak ke tadika. Justeru, tiada kutipan yuran. Perkhidmatan penjagaan harian juga mengalami nasib sama.

Jimat cermat

Natijahnya, Christinea dan Jesse terpaksa ikat perut dan hidup berjimat cermat. Mujur pinjaman Hijrah Selangor membantu mereka membiayai kos operasi tadika terutama bayaran bil dan sewa premis.

“Saya buat pinjaman Hijrah dua kali, awal 2020 sebelum PKP yang pertama sebanyak RM5,000 untuk beli peralatan dan perabot. Kali kedua tahun ini sebanyak RM10,000 untuk bayar bil tertunggak dan membiayai operasi,” katanya.

Christinea Rajagopal menunjukkan gambar dan carta murid yang mendaftar di Tadika Cendikia Intelek, Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apabila sekolah boleh dibuka semula menjelang Julai 2020 dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, ia tidak melenyapkan keresahan Christinea. Hanya beberapa murid kembali ke tadika. Ramai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak. Lebih-lebih lagi, ada tidak lagi mampu membayar yuran akibat hilang kerja atau pendapatan terjejas.

Christinea bersimpati terhadap murid yang tidak mendapat pendidikan prasekolah. Ini mencetuskan ilham kepadanya mengajar dalam talian kepada keluarga kurang berkemampuan. Lebih 20 murid mengikuti kelas dalam talian sepanjang PKP.

Selepas lebih banyak kelonggaran termasuk pembukaan semula hampir semua sektor, Tadika Cendikia Intelek kembali menerima kehadiran murid. Walau bilangannya tidak seramai sebelum PKP, ia melegakan Christinea. Pun begitu, pendidikan percuma tetap diteruskan.

“Saya tiada wang untuk tolong orang susah. Hanya mampu beri pendidikan sahaja kerana pendidikan awal penting untuk murid yang akan masuk darjah satu,” katanya.

Beliau juga menyambut Hari Krismas secara ala kadar. Malah tahun lalu, perayaan dirai dengan terperap di rumah bersama anak tunggalnya, tidak ke gereja seperti kelaziman. Namun, kemeriahan tetap dirasai.

 


Pengarang :