Anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak meninjau lokasi tanah runtuh di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tanah runtuh: 38 keluarga Apartmen Teratai diarah pindah sementara

GOMBAK, 30 DIS: Sebanyak 38 keluarga di Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan tebing pangsapuri itu runtuh akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata apartmen berkenaan antara enam lokasi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kritikal dan perlu pembaikan segera.

“Semua penduduk di pangsapuri itu ditempatkan di Dewan Sri Siantan sementara kawasan berkenaan dibaik pulih manakala lima lagi kawasan yang juga melibatkan penduduk dalam pemantauan dan jika ada keperluan mengosongkan rumah kita akan berikan notis.

“Bagi pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula terdapat lima kawasan kritikal. Kita jangka kos baik pulih di kawasan MPS memerlukan RM11.5 juta manakala MPAJ (RM2.02 juta),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar hari ini meninjau tiga lokasi tanah runtuh di daerah Gombak yang merupakan kawasan kritikal akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Apartmen Teratai, Bandar Baru Selayang sebelum ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Penduduk di pangsapuri itu diarah berpindah ke PPS berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh. Susulan kejadian, MPS telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.


Pengarang :