Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pelbagai agensi berdoa memohon keselamatan kumpulan pendaki yang menghantar bantuan ke Kampung Orang Asli di Batu 23, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah runtuh: Tempoh pembersihan di Genting Peras dijangka dua minggu

HULU LANGAT, 29 DIS: Tempoh pembersihan kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras di sini dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat menjalankan operasi pembersihan dan dijangka lebih banyak kawasan dapat dibersihkan dalam tempoh tersebut.

“Perkampungan ini satu-satunya kawasan yang terputus bekalan akibat tanah runtuh berbanding kawasan lain disebabkan banjir. Minggu lepas kita lihat lebih 30 kawasan tanah runtuh antara Genting Peras ke Kuala Klawang.

“Kalau dilihat dari awal lagi susah kerana tiada laluan dan mengambil masa lima ke enam jam tetapi kini sebahagian daripadanya boleh dilalui,” katanya ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Genting Peras.

Dalam program sama, Amirudin turut melepaskan 58 sukarelawan pendaki dan anggota bomba yang terlibat dalam operasi mengagih bantuan bekalan makanan serta keperluan harian kepada penduduk terputus hubungan.

“Lebih 600 individu daripada 54 keluarga berada di perkampungan itu yang masih berada di atas disebabkan kesukaran mereka untuk turun.

“Kita berpendapat tidak praktikal untuk membawa mereka turun kerana melibatkan kanak-kanak dan orang tua. Setakat ini, bekalan makanan yang dihantar kepada mereka mencukupi untuk tempoh seminggu,” katanya.

Keadaan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :